Thursday, January 8, 2009

Mengenal Allah

1. Mengenal Allah s.w.t adalah fardhu Ain atas tiap-tiap mukallaf dengan mengetahui namaNya dan sifat-sifatNya yang bertepatan dengan syarak yang berlandaskan ajaran para Nabi dan Rasul.

2. Nama-nama Allah s.w.t (Al- Asma 'ul-Husna) dan sifat-sifat yang Maha Besar dan Maha Tinggi. Nama Allah s.w.t yang lebih masyhur di antara segala nama-namaNya ialah Allah, disebut lafaz Al-Jalalah (Lafaz yang Maha Besar) dan yang lain daripada ini diketahui melalui Al-Quran dan Al-Hadith. Semuanya sentiasa menjadi sebutan umat Islam contohnya Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Quddus, As-Salam, Al-Mukmin.

3. Sifat-sifat yang diketahui oleh mukallaf terbahagi kepada dua bahagian :-
1) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan Ijmali (Ringkas) iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus (jazam) bahawa wajib bagi Allah s.w.t bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak dengan keadaan ketuhanan dan mustahil atasNya bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.
2) Mengetahui sifat-sifat Allah s.w.t dengan jalan tafsili (satu persatu) iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli (dengan akal) dan dalil naqli (dengan Al-Quran dan Hadith) bahawa wajib dan beriktiqad dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli dan naqli. Maka mustahil atas Allah s.w.t bersifat dengan segala lawan sifatyang wajib tersebut.

4. Mengenal Allah s.w.t wajib melalui tiga perkara :-
1) Iktiqad yang putus (jazam) iaitu tiada syak, dzan dan waham. Jika iktiqadnya ada salah satu daripada tiga tadi maka tidak dinamakan mengenal Allah s.w.t.
2) Muafakat (bersetuju) iktiqad itu dengan yang sebenar (bertepatan dengan iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah), maka tidak dinamakan mengenal jika iktiqad tidak bertepatan dengan yang sebenar (Ahli Sunnah Wal-Jamaah) sep erti iktiqad orang Nasrani dan Yahudi.
3) Dengan dalil sekalipun dengan dalil ijmali, jika iktiqadnya putus (jazam) serta bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi jika tidak dengan dalil maka dinamakan taqlid.

5. Iktiqad yang tidak terputus atau tidak bertepatan dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, maka para ulama membuat persetujuan bahawa menghukum orang itu kafir. Dan bagi iktiqad orang bertaqlid itu timbul perselisihan ulama padanya. Mengikut qaul yang muktamad orang yang bertaqlid itu tidak dihukumkan kafir jika taqlidnya putus dengan dihukum mukmin yang menderhaka (jika ia belajar maka tidak dihukumkan mukmin yang derhaka).

6. Makna taqlid ialah menerima perkataan orang lain dengan tidak mengetahui dalil dan keterangan.

7. Taqlid terbahagi kepada dua bahagian :-
1) Taqlid Jazam (putus)- Iktiqad yang teguh dan tidak akan berubah walaupun orang yang diikuti itu berubah. Maka taqlid ini di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah sah imannya kerana ada mempunyai iktiqad yang jazam (putus).
2) Taqlid yang tidak Jazam (Tidak Putus)- Menerima perkataan orang lain dengan tidak teguh sekiranya orang yang diikuti sep erti guru-gurunya, ibubapanya atau lainya. Iktiqad mereka berubah-ubah mangikut orang yang diikutinya. Maka taqlid ini dihukumkan tidak sah imannya kerana serupa imannya dengan syak,zhan atau waham(tiada putus).


8. Kesimpulannya iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam bahaya atau bimbang dan tergantung kebenarannya atas orang yang diikutinya. Jika benar perjalanan orang yang diikutinya sep erti guru-gurunya maka mengikutnya selamat, tetapi jika sebaliknya binasalah mereka.
9. Hendaklah seseorang itu bersungguh-sungguh menuntut Ilmu Tauhid yang sahih supaya terlepas ia daripada syak dan waham dalam iman kerana di akhir zaman ini terdapat ramai ahli-ahli bida'ah.
10. Taqlid itu membawa mudharat kerana jalan membawa kepada sesat yang amat hina yang tiada layak pada seseorang manusia.

Rujukan : ( Kitab Risalah Tauhid – Abdul Ghani Yahya )

Monday, January 5, 2009

TEMUDUGA

SEMUA DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEMBARANG PENGECUALIAN
KEKOSONGAN JAWATAN:
A. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN
(khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara langsung ataupun tidak langsung, bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUGUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN:
a. Anda tidak perlu bawa sijil-sijil.
b. Anda tidak perlu bawa pingat.
c. Anda tidak perlu bawa wang atau harta (yang banyak).
d. Anda tidak perlu berparas rupa yang cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal Iman dan Amal

PANEL/PENEMUDUGA:
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa saudara anda?

CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda.
Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi).
Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.
Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:
Hadis Hassan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:
Sabda Rasullah s.a.w: “Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara terompah (kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan di hujung dua kakinya.
Dia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat: dari arasku tidak ada jalan masuk.
Kemudian malaikat ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk.
Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk.
Kemudian didatangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalahamal kebajikan: di bahagianku tidak ada jalan masuk.
Maka malaikat berkata kepadanya: Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu: Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya?
Maka berkata mayat itu: Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Makaberkata malaikat: Sesungguhnya engkau akan megerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya?
Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah Nabi Muhammad s.a.w dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu ialah pesuruh Allaw s.w.t yang membawa kebenaran daripada Allah s.w.t.
Maka maialikat berkata kepada mayat itu: Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula di akhirat insya’Allah.
Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata kepadanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian di lapangkan kuburnya 70 hasta dan disinari cahaya baginya.”
Nampaknya pertahanan kita perlu kuat dari semua aras (kepala, kanan, kiri dan hujung kaki).
Wallahu-a’lam. Semoga Berjaya dalam temuduga ini.

Kita Bertanya Al-Quran Menjawab

Al-Quran sememangnya mempunyai mukjizat yang telah diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Hingga kini ia sentiasa releven dengan kehidupan kita. Allah s.w.t menyatakan Dia akan melindungi Kalimah-Nya daripada dicemari.

Kalau kita perhatikan, jika kita amalkan membaca Al-Quran sehari sebanyak sepuluh ayatnya, kita akan dapati bahawa di dalam ayat tersebut akan menceritakan tentang kehidupan kita pada hari itu. Al-Quran menunjukkan kaitan yang begitu rapat dengan kehidupan. Ia adalah ubat penyembuh kepada segala 'penyakit' terutama yang berkaitan jiwa.

Persoalan-persoalan penting yang sering diutarakan dan memeningkan kepala oleh individu, tidak kiralah tua, muda, zaman dahulu atau akan datang akan sentiasa dijawab di dalam Al-Quran.

Indahnya Al-Quran bukan hanya pelapor maklumat tetapi lebih daripada itu. Ia sentiasa memujuk hati supaya tenang, berbahagia, merasa selamat, pelindung, pengubat. Untuk mencapai makam tersebut, Al-Quran ciptaan Allah ini akan menjawab segala soalan dan masalah kehidupan.


Antara senario yang kerap berlaku ialah;

KITA BERTANYA: "KENAPA AKU DIUJI?"
AL-QURAN MENJAWAB
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: Kami telah beriman, "sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta."
(Al-Ankabut :2-3)

KITA BERTANYA: “KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG AKU IDAMKAN?”
AL-QURAN MENJAWAB

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
(Al-Baqarah : 286 )

KITA BERTANYA: “KENAPA UJIAN SEBERAT INI?”
AL-QURAN MENJAWAB

“Allah tidak membebani seseorang itu dengan melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
(Al-Baqarah : 286)

KITA BERTANYA: “KENAPA RASA KECEWA?”
AL-QURAN MENJAWAB

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”
(Al-Imran: 139)

KITA BERTANYA: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?”
AL-QURAN MENJAWAB
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan, dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu Berjaya (mencapai kemenangan).”
(Al-Imran : 200)



KITA BERTANYA: “BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?”
AL-QURAN MENJAWAB

“ Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.”
(Al-Baqarah : 45)

KITA BERTANYA : “APA YANG AKU DAPAT DARI SEMUA INI?”
AL-QURAN MENJAWAB
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…”
(At-Taubah : 111)

KITA BERTANYA : “KEPADA SIAPAKAH AKU BERHARAP?”
AL-QURAN MENJAWAB
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selainnya dariNya. Hanya kepadanya aku bertawakkal.”
(At-Taubah : 129)

KITA BERKATA : “AKU TIDAK DAPAT BERTAHAN!”
AL-QURAN MENJAWAB
“…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”
(Yusof : 12)

Friday, January 2, 2009

An Nahl 78

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

Thursday, January 1, 2009

An Nahl : 77

(Ingatlah), Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi; dan tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Mutiara Kata

"Orang yang berilmu bertanya mengenai perkara yang dia sudah tahu dan perkara yang belum diketahuinya. Maka dengan cara ini dia dapat memperkemaskan ilmu yang telah ada dan dapat menimba ilmu yang belum diketahui. Orang jahil pula sentiasa menhisih diri daripada menerima pelajaran dan berhenti daripada belajar".
"Perdalamkanlah ilmumu sebelum memimpin kerana apabila sudah menjadi pemimpin engkau tidak mempunyai jalan lagi untuk mendalami ilmu"

(Wasiat Imam Shafie r.a)